• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PKPD Mukim Bukit Besar, Serada Tamat Esok

KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada, Kuala Terengganu pada 26 Jun 2021 jam 11.59 malam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sepanjang tempoh itu, KKM telah melakukan 3,374 ujian saringan dan 31 daripadanya disahkan positif COVID-19.

"KKM juga mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, pelaksanaan PKPD diadakan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut susulan berlaku peningkatan kes yang ketara.