• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

PKPD : Polis Laksana Sembilan Sekatan Jalan Raya Di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Sebanyak sembilan sekatan jalan raya (SJR) di laluan utama di daerah dilaksanakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa hari ini sehingga 12 Jun.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din melaporkan, pihaknya juga melaksanakan 10 sekatan di beberapa laluan alternatif melibatkan sempadan daerah Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu yang menghubungkan Kuala Terengganu.

“Dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR), sekatan penghadang plastik dan batu dikenakan di laluan tersebut," katanya kepada pemberita selepas memantau SJR di Jambatan Sultan Mahmud, hari ini.

Beliau turut memberi amaran keras kepada sesiapa yang bertindak mengalih atau mengubah penghalang yang diletakkan di jalan-jalan berkenaan.

“Pihak PDRM tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas jika penduduk di sekitar SJR berbuat kesalahan sedemikian," katanya lagi.

Abdul Rahim turut mengingatkan masyarakat khususnya di kawasan PKPD di 21 mukim Kuala Terengganu supaya duduk di rumah dan hanya keluar atas urusan perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sekiranya ingin membeli barangan keperluan, hanya seorang wakil isi rumah sahaja dibenarkan keluar membeli kemudian terus pulang ke rumah,” jelasnya.