• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

PKPD : Pusat Khidmat Masyarakat, JPKK Main Peranan Agih Keperluan

KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Kerajaan negeri telah mengarahkan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di setiap kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk sentiasa bersedia dalam memastikan bantuan asas bagi warga terkesan tidak terputus.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya melalui PKM dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sentiasa mengambil peranan dalam memastikan sumbangan diperuntukkan kerajaan akan disampaikan.

“Insya-Allah, dana telah disalurkan dan akan ditambah mengikut kadar ditetapkan, kita juga telah putuskan setiap wakil rakyat untuk keluarkan peruntukan masing-masing dan mengenalpasti mereka yang terkesan agar dibantu segera," katanya.

Menerusi siaran langung TVDI, Mohd Nor turut menyentuh, jika berlaku isu terlepas pandang dalam kerja kebajikan kepada mereka terkesan, maka jiran setempat perlu prihatin dan boleh menyampai maklumat kepada wakil kerajaan.

“Jika berlaku masalah dalam perolehan bantuan atau ada mereka yang tercicir, jangan malu dan segera hubungi JPKK atau PKM kawasan anda.

“Selain itu, mereka mengalami kesempitan bekalan juga boleh membuat aduan atas talian di Facebook Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), mana-mana aduan dalam laman sosial kita akan panjangkan kepada pihak berkenaan bagi tindakan lanjut,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut mengajak seluruh umat Islam Terengganu agar mengikuti program Munajat Rakyat 8.0 sebagai ikhtiar mengharungi musibah pandemik COVID-19.

“Munajat kali ini akan diisi dengan pendakwah selebriti seperti Dr Zamri Mantop serta Ustaz Ahmad Dasuki dan ramai lagi pengisian bermanfaat bagi menyucikan jiwa dan berdoa kepada Allah supaya dijauhi daripada wabak dan bencana,” jelasnya.