• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PKPD Teluk Menara, 500 Ekor Ayam Diagihkan

HULU TERENGGANU, 4 Ogos- Lebih 500 ekor ayam diagihkan kepada penduduk di kampung Teluk Menara di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 27 Julai lalu.

Pegawai Hal Ehwal Masyarakat Institut Modal Insan Sejahtera (IMiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir Rozali Mamat, berkata, sumbangan itu di bawah peruntukan ADUN Manir, Ustaz Hilmi Dato’ Harun.

Katanya, agihan tersebut diselaraskan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang membantu menghantar ayam segar tersebut kepada setiap rumah dalam kawasan PKPD.

“Ini merupakan agihan kedua selepas bantuan barang keperluan dapur yang kita edarkan bersama ADUN Manir dan Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu kepada penduduk selepas perintah PKPD berkuatkuasa di kampung berkenaan.

“Dengan bantuan ini, kita harap ia sedikit sebanyak dapat menceriakan dan meringankan beban penduduk yang kini terpaksa duduk di rumah masing-masing akibat PKPD,” katanya kepada pemberita TRDI di sini semalam.

Rozali berkata, pihaknya juga mendapat kerjasama Jabatan Amal Manir dan NGO TM Care dalam membantu proses pengagihan tersebut.

Tambahnya lagi, mereka yang berdepan masalah seperti terputus bekalan makanan boleh menghubungi JPKK bagi mendapatkan bantuan.

“Kita sentiasa bersedia membantu dan bantuan akan diteruskan selepas ini bergantung kepada keadaan semasa,” ujar beliau.