• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PKPD Tujuh Lokaliti Di Dungun Dilanjutkan

KUALA TERENGGANU, 10 September -  Tujuh lokaliti di Dungun dilanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 24 September depan.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, pelanjutan tersebut diputuskan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta jangkitan Covid-19.

“Lokaliti tersebut melibatkan Bandar Paka; Gong Gemia; Cacar Baru, Limbong, Kuala Paka, Taman Indah Permai dan Telaga Mas yang membabitkan sejumlah lebih 10,000 penduduk," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Terdahulu, pelaksanaan PKPD sejak 28 Ogos itu akibat Kluster komuniti iaitu Kampung Limbong melibatkan seorang penduduk tempatan bergejala yang berusia 55 tahun disahkan positif Covid-19 pada 16 Ogos dan menjangkiti 53 orang akhir bulan itu.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), kluster tersebut hari ini merekodkan satu kes baharu menjadikan keseluruhan kes positif virus itu sebanyak 122 kes sejak Ogos lalu.

“Terengganu mencatatkan peningkatan kes sebanyak 910 kes positif COVID-19 dan 22 kes adalah dari Dungun," katanya menerusi laman Facebook rasmi JKNT.