• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PKRC Baharu Dibuka, Sedia Hadapi Peningkatan Kes

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Terengganu bersiap sedia menghadapi kemungkinan peningkatan kes COVID-19 dengan membuka sebuah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Stadium Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, PKRC baharu yang memuatkan 326 katil itu akan mula beroperasi sepenuhnya esok.

Katanya, ia juga merupakan persiapan awal sekiranya PKRC di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) diserahkan kembali kepada pihak IPT apabila IPT dibuka nanti.

"PKRC ini disiapkan dalam tempoh hanya empat hari sahaja, ia boleh dinaik taraf kepada 390 katil sekiranya diperlukan.

"Pesakit positif bagi kategori 1, 2, 3 dan 4 sahaja akan ditempatkan di sini, sebab itu kita melihat terdapat tong oksigen bagi kategori 4 yang memerlukan oksigen.

"Ini adalah sebagai persiapan awal kita bagi menghadapi pertambahan kes, sejak akhir-akhir ini jarang di bawah 500 kes sehari.

"Walaupun begitu, sebahagian besar adalah kategori 1 dan 2 sahaja," ujarnya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Stadium Negeri kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

Alias Razak.

Menurut Dr Alias, keselesaan pesakit di pusat rawatan itu akan dipastikan berada di tahap terbaik.

"PKRC ini agak selesa dengan jarak katil yang selesa dan tandas yang mencukupi, walaupun sakit, kita akan pastikan pesakit selesa berada di sini.

"PKRC ini juga hanya akan menempatkan pesakit lelaki sahaja," jelasnya.


Tag: