• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PM Arah Agensi Bantu Pantai Timur

KUALA TERENGGANU, 28 Februari – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua agensi kerajaan persekutuan berkaitan bencana membantu operasi menyelamat mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.

Perdana Menteri turut mengingatkan agar semua mangsa mengutamakan keselamatan dalam menghadapi banjir luar jangka ini.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Mlaysia (APM) telah dikerahkan bagi kerja-kerja pemindahan mangsa banjir.

 “Kepada mangsa-mangsa banjir, ikuti langkah keselamatan dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atau ke kawasan selamat bagi keselamatan diri dan keluarga,” tambah beliau.

Menurut Ismail Sabri, beliau juga akan memastikan bekalan makanan dan keperluan disediakan secukupnya bagi semua mangsa yang terlibat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sehingga jam 10 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Terengganu yang dipindahkan ke PPS meningkat seramai 12,183 mangsa di 172 PPS berbanding semalam; 6,963 mangsa (117 PPS).


Tag: