• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PM Bantu Mangsa Kebakaran Kampung Cina

KUALA TERENGGANU, 23 September - Nasib 12 mangsa kebakaran di Kampung Cina di sini, turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang hari ini.

Bantuan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd. Yunus. 

Mohammad Anuar berkata beliau diarahkan oleh Perdana Menteri yang ketika ini berada di luar negara atas urusan rasmi untuk menyantuni mangsa yang terlibat.

"Saya dimaklumkan pelbagai bantuan awal telah diberikan kerajaan negeri dan hari ini saya mewakili Perdana Menteri menyampaikan sedikit sumbangan tanda ingatan daripada beliau

“Difahamkan juga, lokasi kebakaran yang terletak di bawah tanah berstatus Lesen Kependudukan Sementara (TOL) menyukarkan bantuan disalurkan oleh kerajaan negeri.

"Selepas ini, saya akan  berbincang dengan Perdana Menteri tentang kaedah sesuai bersama agensi-agensi lain untuk menghulurkan bantuan berikutnya yang diperlukan mangsa kebakaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mewakili Ismail Sabri melawat mangsa kebakaran di Kampung Cina, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohammad Anuar diberi taklimat ringkas oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md. Hilman Abd. Rashid.

Dalam kebakaran kira-kira jam 8.15 malam Sabtu lalu, sebanyak 12 bangunan termasuk kedai pakaian, emas dan kedai makan, terbakar dipercayai akibat sistem pendawaian usang dan tidak teratur.