• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PMINT Bangunkan Empat Projek Perumahan Komersial

KUALA TERENGGANU, 13 Jun – Kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri (PMINT) kini membangunkan empat projek perumahan komersial bernilai RM82.8 juta melibatkan 223 unit rumah di Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman, berkata, projek yang melibatkan pelbagai jenis rumah dibangunkan di empat daerah itu bagi menampung permintaan dan keperluan pasaran ketika ini.

Menurutnya, empat projek tersebut ialah di Residensi Tembesu, Kuala Nerus melibatkan 96 unit rumah dengan nilai keseluruhan RM38.3 juta.

"Kita juga ada 68 unit rumah di Perumahan KP Perdana Fasa 7, Kuala Terengganu yang bernilai RM26.45 juta serta 36 unit rumah di Bandar Baru Kerteh, Kemaman bernilai RM9.4 juta.

"Selain itu, kita turut membina 23 unit rumah bernilai RM8.6 juta di Seberang Paka, Dungun," katanya kepada pemberita.

Dalam masa yang sama PMINT juga memainkan peranannya dalam meninjau potensi untuk memajukan hartanah di Terengganu.

Tambah beliau, pihaknya melihat potensi dan peluang yang ada untuk membangunkan lebih banyak projek perumahan komersial terutama yang bernilai lingkungan RM350,000 hingga RM500,000.

"Permintaan sangat tinggi terutama di kawasan Kerteh yang terkenal dengan industri petroleum dan gas kerana penduduk di kawasan itu memiliki kuasa beli yang tinggi,”katanya lagi.

Justeru itu, Wan Adnan yakin sekiranya projek perumahan komersial yang lengkap dengan infrastruktur akan melonjakkan permintaan hartanah di kawasan tersebut.