• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PMINT Juara Keseluruhan, Pejabat SUK Pertahan Johan Perbarisan

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos – Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dinobatkan sebagai juara keseluruhan Perarakan dan Perbarisan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-65. 

Anugerah itu diraih apabila PMINT memenangi acara perbarisan bagi kategori Badan Berkanun Tidak Beruniform serta Ketua Kontinjen Terbaik.

Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu pula berjaya mempertahankan kejuaraan Pertandingan bagi kategori Jabatan Kerajaan Tidak Beruniform setelah menjuarai kategori itu pada tahun 2019.

Pada masa yang sama, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu mengungguli kategori Jabatan Kerajaan Beruniform dan Anugerah Khas DUN dirangkul Pusat Khidmat DUN Kota Putera.

Selain tu, turut memenangi Pertandingan Perarakan dan Perbarisan 2022 bagi Pasukan Sekolah Menengah Beruniform, Kadet Bersatu Malaysia (Darat) SMK Seri Nering, Jerteh; Pasukan Sekolah Menengah Tidak Beruniform, SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Burok; Swasta, PETRONAS dan Pancaragam Terbaik, LeBEST BAND SMK Lembah Bidong, Setiu.

Hadiah tersebut dikurniakan oleh Yang Di-Pertuan Muda Terengganu yang berkenan mencemar duli menghadiri acara yang diadakan di Dataran Pantai Batu Burok, di sini pagi tadi.

Turut mengiringi keberangkatan Yang Di-Pertuan Muda ialah Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Sambutan Hari Kebangsaan 2022 peringkat Negeri Terengganu dimulai dengan perarakan dan perbarisan oleh jabatan kerajaan, badan beruniform, anak syarikat negeri (GLC) serta institusi pendidikan sejauh 4.4 kilometer.

Acara bersempena Hari Kebangsaan ke-65 bermula sejak 18 Ogos hingga 17 September dengan pelbagai program yang diatur.
Sambutan dengan tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama mendapat sambutan yang menggalakkan apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kelonggaran untuk diraikan.

 


Tag: