• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

PMINT Terengganu Pula Tubuh Taska Baharu

KUALA TERENGGANU, 1 April - Sebahagian kakitangan jabatan di negeri Terengganu sekali lagi mampu menarik nafas lega dengan pertambahan Taska Permata Keluarga di negeri berkenaan selepas Taska Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) pula dirasmikan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menyifatkan, perasmian taska berkenaan melengkapkan lagi manifesto kerajaan negeri iaitu membuka pusat asuhan di setiap jabatan kerajaan negeri.

Hanafiah Mat.

"Saya ucapkan tahniah kepada PMINT dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) yang menubuhkan taska ini dan diwujudkan hasil inisiatif majikan untuk kebajikan pekerjanya.

"Taska Permata Keluarga PMINT pasti dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan selamat untuk anak-anak dihantar di sini.

"Di samping dapat memberikan ketenangan bekerja kepada para ibu bapa dalam meningkatkan produktiviti dan mutu perkhidmatan di tempat mereka bekerja," katanya ketika berucap merasmikan Taska PMINT di sini pagi tadi.

Hadir sama dalam majlis tersebut, isteri Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datin Nur Diyana Takri, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman dan Pengarah YPKT, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah.

Dengan berkeluasan lantai 4,902 kaki persegi di tingkat 2 Menara PMINT, taska itu merupakan taska di tempat kerja yang ketujuh diwujudkan selain di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Wisma Darul Iman dan Majlis Perbandaran Dungun (MPD).

Wan Adnan Wan Derahman.

Sementara itu, menurut Wan Adnan Wan Derahman, pihaknya meneruskan kerjasama dengan pihak YPKT untuk menguruskan taska ini menggunakan kurikulum dan modul PERMATA serta guru-guru yang terlatih sebagaimana taska permata keluarga yang lain.

"Taska kita telah memulakan operasi di Menara PMINT bermula pada 1 Februari 2021 dengan menempatkan seramai 80 orang kanak-kanak yang berumur seawal 3 bulan hingga 4 tahun dengan 9 orang tenaga pengajar.

"Sebahagian daripada anak-anak adalah daripada Taska Permata Keluarga UTC yang sedia ada dan selebihnya adalah penyertaan baharu daripada anak-anak kakitangan PMINT, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Syarikat Anak PMINT, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta jabatan dan agensi swasta sekitar Bandar Kuala Terengganu.

"Inilah kelainan penubuhan Taska PERMATA Keluarga PMINT berbanding taska jabatan lain yang tidak terhad kepada anak-anak warga kerja PMINT sahaja," jelasnya.


Tag: