• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Polis Hulu Terengganu Tidak Terima Laporan Salah Laku, Khianat Sepanjang  Kempen PRN15

HULU TERENGGANU, 8 Ogos - Polis Hulu Terengganu mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berkaitan salah laku proses berkempen yang dilakukan oleh parti yang bertanding sepanjang  berkempen pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri ke 15 (PRN DUN Ke 15) hingga hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, YM ASP Raja Saripah Robiah Raja Sulaiman berkata, bagi Parlimen Hulu Terengganu tidak ada kes atau kertas siasatan dibuka.

"Setakat ini tidak ada aduan bersabit kesalahan PRU, perbuatan khianat atau apa-apa kes jenayah yang berlaku sepanjang tempoh berkempen daripada mana-mana parti politik yang bertanding.

"Secara keseluruhannya, kesemua parti yang bertanding menunjukkan pematuhan dan prestasi baik dalam tempoh berkempen dengan mematuhi peraturan dan undang-undang Akta Pilihan Raya... saya berharap momentum ini dapat dipertahankan sehingga hari pengundian nanti," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuang undi  di Pusat Pengundian Awal di Dewan Kelah, Kompleks PDRM, di sini.

Menurut Raja Saripah Robiah, proses pengundian awal ini dijalankan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang di dua lokasi iaitu Dewan Kelah, Kompleks Perumahan PDRM Hulu Terengganu (220 anggota) dan Balai Polis, Ajil (12 anggota).

"Alhamdulillah proses pengundian awal berjalan lancar yang mana pegawai dan anggota telah keluar menunaikan kewajipan masing-masing sejak jam 8 pagi tadi," ujarnya.