• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Polis Jangka Lebih 50 Ribu Kenderaan Masuk Terengganu Sempena Aidilfitri

KUALA NERUS, 28 April - Polis Terengganu menjangkakan pertambahan kenderaan hingga lima kali ganda berbanding 13,000 kenderaan pada hari biasa akan masuk ke negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Negeri,  Datuk Rohaimi Md Isa berkata keadaan ini akan menimbulkan masalah kesesakan yang agak teruk dan pihak polis telah bersedia untuk berhadapan dengan masalah tersebut.

"Kita tidak akan membuat sebarang sekatan jalan, sebaliknya Ops Selamat akan membantu melancarkan lagi pergerakan pengguna jalan raya untuk balik ke kampung," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Selamat di susur keluar Plaza Tol Gemuruh di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, pihaknya juga telah mengenalpasti 20 kawasan hitam yang kerap berlaku kemalangan jalan raya

"Ini termasuk enam kawasan panas yang perlu diberi tumpuan untuk melancarkan pergerakan kenderaan," tambah beliau lagi.

Tambahnya, seramai 877 pegawai dan anggota polis akan dikerahkan mengawal trafik di kawasan panas terlibat sepanjang pelaksanaan Ops Selamat 18 bermula esok (hari ini) hingga 8 Mei ini.

Sementara itu, Rohaimi berkata pendekatan rondaan berkenderaan oleh anggota PDRM akan dilakukan di kawasan kediaman darinmasa ke semasa .

"Oleh sebab itu, orang ramai dipohon agar memaklumkan kepulangan mereka ke kampung kepada polis bagi memudahkan rondaan dan pengawasan dilaksanakan sepanjang Ops Selamat dilaksanakan," ujarnya.