• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Polis Lancar Ops Lampu Isyarat Merah

KUALA LUMPUR, 16 Disember  - Polis Diraja Malaysia melaksanakan Ops Lampu Isyarat Merah di seluruh negara mulai semalam.

Ia susulan ramai pengguna jalan raya didapati tidak mematuhi peraturan lalu lintas terutamanya tidak memberhentikan kenderaan di lampu isyarat merah.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, operasi sehingga 31 Disember itu bertujuan mengesan mereka yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah, terutamanya dalam kalangan penunggang motosikal, termasuk penghantar makanan atau barangan serta pemandu kenderaan lain.

"Tindakan saman serta merta akan diambil atau direkodkan butiran kenderaan terlibat bagi tindakan susulan.

"Kami memandang serius sikap dan trend pemanduan ini yang boleh menyebabkan kemalangan serta menimbulkan kegusaran kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata statistik penguatkuasaan yang melibatkan kesalahan melanggar lampu isyarat merah pada tahun lepas merekodkan 69,267 saman, dengan motosikal mencatatkan kesalahan tertinggi iaitu 32,657 diikuti kereta (29,873), lori (2,808) dan 3,929 lain-lain kenderaan.

Bagi tempoh sejak Januari hingga Nov pula 52,170 saman dikeluarkan dengan kenderaan motosikal mencatatkan saman tertinggi iaitu 26,764 diikuti kereta (20,751), lori (2,208) dan 2,447 lain-lain kenderaan.

Azisman berkata mana-mana individu yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah boleh diambil tindakan di bawah Kaedah 17 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan. - BERNAMA
 


Tag: