• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Polis Marin Rampas Rokok Seludup Bernilai RM2.4 Juta

KUALA TERENGGANU, 31 Disember – Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga melalui Ops Benteng COVID-19 telah berjaya merampas sebanyak 19,000 karton rokok bernilai hampir RM 2.4 juta dalam sebuah lori di Kampung Tepoh, Batu Rakit hari ini.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Superintendan Mohd Razlan Abdul Manaf berkata, lori lapan tan tersebut pada awalnya ditahan kerana disyaki mengangkut karton rokok yang belum diluluskan pihak kastam.

“Sembilan pegawai PPM telah menjalankan rondaan dengan kenderaan pasukan di kawasan Kampung Gemuroh, Kuala Nerus, dan mengekori sebuah lori yang disasarkan, pada jam lebih kurang 8.15 pagi ini.

“Pasukan telah memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan mengarahkan pemandu lori tersebut supaya memberhentikan kenderaanya tetapi suspek tersebut telah bertindak memecut laju tanpa mengendahkan arahan pihak polis.

“Pemandu tersebut diberkas setelah dikejar peronda kira-kira setengah jam kemudian selepas dia bertindak keluar melarikan diri daripada kenderaan," katanya dalam sidang media hari ini

Tambah Mohd Razlan, hasil pemeriksaan ke atas muatan lori tersebut telah menemui 340 kotak dipercayai mengandungi 50 karton rokok dalam setiap kotak.

“Pihak kami mengesyaki bahawa rokok berjenama ‘John’ ini adalah untuk pasaran Kuala Terengganu dan Dungun mengikut modus operandi sebelumnya.

“Kes ini merupakan kes pertama di Terengganu pada tahun 2020 hasil daripada Ops Benteng COVID-19, ini adalah rampasan terbesar dalam negeri buat tahun ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Razlan berkata, kes tersebut akan diserahkan kepada pegawai penyiasat jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bagi tindakan lanjut.

“Pemandu lori warga tempatan berusia 30-an telah direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut. Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.