• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

'Jangan Rentas Masuk Terengganu Tanpa Alasan Kukuh' - Polis

KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu memberi ingatan kepada mana-mana individu agar tidak cuba merentas masuk ke negeri itu tanpa alasan kukuh menjelang sambutan Aidiladha.

Ketua Polis Terengganu, Dato' Rohaimi Md. Isa berkata, pihaknya akan membuat pemeriksaan yang lebih teliti ke atas semua jenis kenderaan memasuki negeri itu terutama di pintu masuk di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2.

Menurutnya, PDRM Bukit Aman telah mengeluarkan arahan agar meningkatkan pengawasan terutama sempena perayaan tersebut.

"Kita tidak ada penambahan sekatan jalan raya (SJR), tetapi ingin saya ingatkan jangan cuba-cuba untuk merentas negeri atau daerah tanpa alasan yang kukuh.

"Hasil tinjauan kami di LPT 2 di Perasing mendapati aliran trafik masih terkawal walaupun pada hari hujung minggu," jelasnya ketika dihubungi pada hari ini.

Terdahulu, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) memaklumkan berlaku kesesakan di Plaza Tol Gombak setakat pukul 1.48 tengah hari tadi.

LLM melalui Facebooknya berkata, kesesakan berkenaan berlaku sebelum masuk Plaza Tol Gombak ke arah barat menghala ke Kuala Lumpur.

Kesesakan trafik itu turut dikesan seawal pukul 10.12 pagi tadi.