• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Polis Rampas Rokok Seludup Bernilai RM1.8 Juta

Superitendan Baharudin Abdullah.

DUNGUN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya merampas 1,190 kotak besar yang mengandungi 595,000 karton rokok seludup yang bernilai RM1.8 juta  dalam satu serbuan di Kampung Tebing Tembah, Paka, semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supritendan Baharudin Abdullah ketika ditemui  berkata,  serbuan  dilakukan oleh sepuluh orang anggota polis bersama seorang pegawai pada pukul 4.00 pagi hasil daripada  maklumat orang awam dan risikan yang dibuat berkenaan aktiviti haram tersebut.

Menurutnya,  seramai 15 suspek  berusia 26 hingga 44 tahun telah  ditahan ketika sedang melakukan kerja-kerja memunggah rokok terbabit dan pihaknya telah merampas sebanyak  440 karton rokok yang sedang dipindahkan ke dalam sebuah lori. 

"Kita telah menyerbu dan menahan kesemua suspek dan pihak polis yang melakukan siasatan di tengah laut  dengan kerjasama nelayan tempatan telah  menemui sebuah bot nelayan dalam keadaan mencurigakan.

"Bot nelayan tersebut dipercayai datang dari Negara Vietnam sedang berlabuh di  perairan tersebut dan selepas pemeriksaan lanjut dilakukan, pihak  polis telah menemui lebih banyak lagi rokok disorok di bahagian kargo dalam bot," katanya. 

Bot nelayan Vietnam yang diubah suai menjadi bot nelayan tempatan untuk digunakan bagi aktiviti menyeludup.
Tambah Baharudin, bot tersebut telah diubah suai menyerupai bot nelayan tempatan untuk mengaburi pihak berkuasa dan hanya digunakan khusus untuk aktiviti haram tersebut.

"Bot tersebut telah dicat dengan warna bot tempatan dan kita percaya rokok tersebut dibawa dari negara jiran untuk dipasarkan di seluruh negeri ini," katanya.

Baharudin menunjukkan rokok seludup yang dirampas.
Menurutnya , kesemua suspek yang berada di dalam bot tersebut dipercayai telah melarikan diri kerana ketika diserbu pihaknya mendapati ianya kosong dan bot tersebut tidak boleh berlayar kerana tersangkut di beting pasir akibat air yang cetek.

"Kita percaya krew yang berada didalam bot tersebut sudah melarikan diri  dengan lebih awal dengan menggunakan bot kecil setelah mengetahui berkenaan serbuan yang dilakukan itu," katanya.

Baharudin menunjukkan bungkusan yang mengandungi rokok seludup yang telah dirampas.
Tambah Baharudin, bot terbabit kemudiannya dibawa masuk ke Jeti Pendaratan Ikan Kuala Paka, untuk siasatan lanjut.

Katanya, kesemua suspek yang merupakan rakyat tempatan serta rampasan rokok  akan  diserahkan kepada Jabatan Kastam Di Raja Malaysia  ( JKDM ),  Kemaman untuk tindakan lanjut. 


Tag: