lightning-solid
Berita :
Polis Sahkan Tiada Unsur Buli Dalam Insiden Pelajar Tingkatan Dua
Polis Sahkan Tiada Unsur Buli Dalam Insiden Pelajar Tingkatan Dua
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
76

KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Polis mengesahkan tiada sebarang unsur buli dikenal pasti sebagai punca insiden percubaan bunuh diri membabitkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua di sebuah sekolah menengah, di sini, semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, hasil siasatan awal mendapati pelajar berusia 14 tahun itu menghidap penyakit skizofrenia sejak Mei lalu dan keadaan kesihatan mentalnya telah dimaklumkan sepenuhnya kepada ibu bapa serta pihak pentadbiran sekolah.

Menurutnya, siasatan setakat ini turut mendapati dakwaan yang mengaitkan kejadian tersebut dengan kes buli adalah tidak benar.

"Hasil siasatan yang dijalankan setakat ini juga mendapati bahawa tiada sebarang unsur buli yang menjadi punca kepada kejadian tersebut. 

"Justeru, orang ramai diminta agar tidak mengaitkan insiden ini dengan sebarang dakwaan yang tidak berasas sehingga boleh menimbulkan salah faham dan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Mohd Khairi berkata, pelajar berkenaan kini masih menerima rawatan serta pemantauan rapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan tidak mengalami sebarang kecederaan akibat insiden tersebut.

Tambahnya, pelajar itu telah menerima rawatan terakhir pada 14 Julai lalu dan dijadualkan menjalani rawatan susulan pada 15 September depan.

Ulasnya lagi, pihak sekolah telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar berkenaan, termasuk merujuknya kepada guru kaunseling sebanyak 11 sesi serta mengadakan lima sesi konsultasi bersama ibu bapanya.

"Pihak sekolah juga telah merujuk pelajar ini kepada guru kaunseling sebanyak 11 kali sesi dan konsultasi bersama ibu bapa sebanyak lima kali. 

"Guru kaunseling ini akan membuat pemantauan setiap hari melalui perjumpaan.

"Pihak sekolah juga telah mengambil tindakan keselamatan dengan menempatkan kedudukan kelasnya di aras bawah dan meminta rakan-rakannya untuk menemani pelajar ini ke mana sahaja dia pergi," jelasnya.

Ketua Polis turut menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terus memuat naik kandungan berkaitan sehingga boleh menjejaskan emosi mangsa dan keluarganya.

"Seperti yang saya dah ingatkan dalam kenyataan media saya bahawa, pihak kami akan mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang masih memuat naik di dalam media sosial boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 SKMM, yang mana boleh didenda sebanyak RM50,000 jika disabit kesalahan," tegasnya.

Beliau menyeru orang ramai agar menghormati privasi mangsa dan keluarganya, selain memberi ruang kepada pihak hospital meneruskan rawatan serta membenarkan polis menjalankan pemantauan sewajarnya terhadap kes berkenaan.


Artikel Berkaitan