Khidmat Malaysia Anjur Dapur Rakyat Ringankan Beban Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 2 September - Polis negeri kontinjen Terengganu akan mengadakan jualan lelongan barang kemas yang sudah dilucut hak pada 13 September ini.
Menerusi notis pemakluman dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini, sejumlah 22 barangan kemas seperti rantai leher, gelang tangan dan cincin akan dilelong dengan semua barangan itu sudah dilucut hak di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.
"Lelongan itu akan dilakukan di ruang legar, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Terengganu bermula jam 10.30 pagi hingga 4 petang.
"Orang ramai yang mahu menyertai lelongan berkenaan perlu membayar deposit sebanyak RM500," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi Polis Terengganu, semalam.
Tambahnya, bayaran deposit boleh dibuat dalam bentuk kiriman wang atau bank draf atas nama Ketua Polis Terengganu berserta tiga salinan kad pengenalan dan penyata bank yang masih aktif.
"Orang ramai dibenarkan melihat barangan sebelum melakukan bidaan pada 12 September dan bayaran menyertai lelongan ini boleh dibuat bermula jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 2.30 hingga 4.30 petang," jelasnya.
Individu yang diisytihar bankrap tidak layak menyertai bidaan dan IPK Terengganu tidak akan bertanggungjawab ke atas aset yang sudah dijual.
Sebarang keterangan lanjut boleh menghubungi Inspektor Azman Budin di talian 013-7391649, Sarjan Mejar Hafizi (013-9298384), Lans Koperal Rafae (019-5589795) dan Puan Zila di talian 09-6354773.