• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Politik Matang Sejahtera PAS, Redakan Sengketa Politik Terengganu

BESUT, 5 Ogos- Pendekatan politik matang dan sejahtera yang diamalkan parti PAS ketika mentadbir Negeri Terengganu memperlihatkan perkembangan positif apabila kempen yang memasuki tempoh seminggu berlangsung dalam suasana yang tenang dan 'sejuk'.

Calon PAS bahagian pilihan raya N02 Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pendekatan tersebut diterapkan kepada semua peringkat kepimpinan.

"Ketika saya menjadi wakil rakyat di sini pada penggal terdahulu, antara perkara utama yang dilakukan ialah meredakan sentimen kepartian dalam masyarakat.

"Kalau di Besut ini, kalau kita tengok ketegangan politik amat ketara.

"Dahulu terjadi pelbagai isu dan 'bertikam bayang' sesama sendiri, jadi saya berusaha mengurangkan perkara tersebut.

"Orang UMNO kita buat kawan supaya ideologi perbezaan itu hanya semasa pilihan raya," katanya ketika ditemui semasa ziarah masyarakat di Kampung Persiaran Limbungan, hari ini.

Menurutnya, sentimen itu berjaya diredakan apabila kerajaan negeri turut menggunakan kaedah yang sama terutama dalam pemberian kebajikan tanpa mengira perbezaan parti.

"Janji apabila layak, mereka diberi bantuan. Dengan itu, rakyat menilai sendiri," katanya.

Tambahnya, apa yang penting ialah masyarakat bersama-sama membangunkan negeri dan tempat masing-masing.

Selain menjadi pelaksana kepada manifesto yang dijanjikan kerajaan negeri di peringkat DUN, Nurkhuzaini turut menyelesaikan isu tanah terkilan bagi lebih 1,000 penerima.

"Kita berjaya menyelesaikan pemberian hak milik kepada 900 lebih penerima dan kini tinggal 300 lebih lagi senarai yang masih berbaki untuk diselesaikan selepas ini," ujarnya.

 


Tag: