• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Port' Dadah Bakal Jadi Pusat Pelancongan

DUNGUN, 18 Oktober - Pantai Teluk Bidara yang sebelum ini menjadi 'port' penagihan dadah bakal menjadi pusat pelancongan untuk orang ramai bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan.

Penolong Pengarah Pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Rusmizal Ibrahim berkata mengikut faktor geografi tempat tersebut sangat cantik dan sesuai untuk menjadi destinasi pelancongan di Dungun. 

"Dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Teluk Bidara, agensi-agensi dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), kita bergotong-royong untuk membersihkan tempat ini agar bertukar daripada 'port' penagih dadah kepada salah satu pusat rekreasi di Dungun," katanya. 

Rusmizal ditemui ketika di Program Bersepadu AADK Musnah Port di Kampung Teluk Bidara di sini semalam. 

Turut hadir di program tersebut ialah Penghulu Mukim Abang, Abdul Ghafar Abu Bakar, Ketua Pegawai AADK Daerah Dungun, Yusri Mohd.

Manakala Yusri ketika ditemui sebelum itu memberitahu, Kampung Teluk Bidara telah terpilih sebagai 'kawasan angkat' AADK di mana pelbagai program telah dijalankan dan akan sentiasa diadakan. 

"Gotong-royong ini adalah rutin bulanan bersama MPKK, selain menebas semak samun kita telah bergotong royong bina pintu gerbang. 

"Teluk Bidara, sesuai sebagai tempat pelancongan dan kita perlu bersihkan daripada gejala dadah agar bila pelancong datang, mereka berasa selamat," jelasnya. 

 


Tag: