• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Positif Covid-19 Kali Kedua, Cikgu Shafruddin Redha

KUALA TERENGGANU, 25 Mei - Belum lagi hilang rasa bimbang, ketakutan dan perit akibat disahkan dijangkiti virus Covid-19 buat kali pertama awal Januari lalu, Ketua Nazir, Jemaah Nazir, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Shafruddin Ali Hussin terpaksa akur kerana disahkan terkena jangkitan virus sama buat kali kedua pada 10 Mei baru-baru ini.

Shafruddin yang membahasakan diri sebagai cikgu memberitahu, beliau kali pertama positif pada 9 Januari lalu, puncanya tidak pasti, berkemungkinan diperoleh daripada rakan mesyuarat atau ahli jemaah surau.

Katanya, sebelum tarikh itu, tekaknya merasa perit, hilang deria bau dan rasa, badan mula gementar, beliau hampir demam tetapi masih lagi di bawah suhu 37.5.

“Bimbang dengan keadaan itu, cikgu ada menghubungi kenalan di Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT),  bertanya hal berkaitan, bagaimanapun rakan seakan menafikan, sebaliknya mendakwa mungkin demam denggi.

“Disebabkan tekak semakin sakit, cikgu memilih untuk membuat ‘swab test’ (ujian saringan) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Cikgu minta jasa baik petugas berkaitan agar menyegerakan keputusan kerana ada mesyuarat  penting di Ipoh pada keesokan harinya,” katanya ketika dihubungi pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Menurutnya, keputusan yang diperoleh selepas tiga jam swab test sangat mengecewakan sedangkan dia tidak bersedia untuk menerima ujian seberat itu.

“Cikgu dipantau pegawai perubatan HSNZ kerana oksigen mula turun di bawah 95 peratus dan doktor menyatakan  kemungkinan ada pembekuan darah.

“Tiada rawatan khas, hanya diminta melakukan senaman dan latihan penafasan, di samping perlu makan vitamin c dan pil wuhan secara berkala dan beberapa prosedur rawatan lain yang perlu diikuti,” katanya yang disahkan negatif Covid-19 selepas sepuluh hari bertarung dengan virus itu.

Shafruddin berkata, belum pun melepasi tempoh enam bulan bebas daripada jangkitan Covid-19, dia terpaksa redha dengan ujian buat kali kedua pada 10 Mei di mana sebelum itu mempunyai kontak rapat dengan jurusolek program televisyen.

Katanya, positif kali kedua tidak bergejala kecuali kadar darah dan gula dalam badan tinggi.

“Waktu itu, cikgu jadi seakan bingung dan keliru kerana ada pihak tertentu menyatakan, sekiranya sesorang itu telah dijangkiti virus Covid-19, kadar kebolehan jangkitan untuk kali kedua sangat rendah.

“Bagaimanapun, cikgu redha dengan ujian Allah dan menganggap semuanya ada hikmah,“ katanya yang juga bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan kini sudah bebas daripada Covid-19 sejak 17 Mei lalu.
 

 


Tag: