• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PPR Kuala Nerus Dijangka Siap 25 Februari

KUALA NERUS, 20 Februari- Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Datuk Azhar Ahmad memaklumkan, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kuala Nerus dijadualkan siap sepenuhnya 25 Februari ini.

Menurut beliau, kelewatan menyiapkan projek itu berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.

“Sepatutnya projek ini siap pada 16 April 2021 namun tarikh siap sebenarnya jatuh pada 25 Februari 2023 setelah mendapat beberapa keputusan.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara berkuatkuasa 18 Mac 2020 lalu telah menganggu kelancaran perjalanan projek kerana pihak kontraktor terpaksa memberhentikan kerja-kerja di tapak.

“Mereka telah dapat mulakan kembali kerja tapak pada 14 April 2020, namun sekali lagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakan menyebabkan pihak kontraktor menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja di samping kelewatan menerima barang binaan daripada pihak pembekal,” ujarnya ketika berucap di Majlis Penyerahan Projek Perumahan Rakyat Kuala Nerus, hari ini.

Pada sesi menandatangani dokumen penyerahan projek sempena majlis tersebut, beliau telah mewakili Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan manakala Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja mewakili Kerajaan Negeri Terengganu.

Katanya, PPR Kuala Nerus yang dibangunkan di Kampung Bukit Nanas, Tepoh itu mempunyai enam blok bangunan setinggi lima tingkat dengan bilangan 500 unit kediaman dengan saiz setiap unit rumah berukuran 700 kaki persegi.

“PPR Kuala Nerus ini adalah sebuah projek dibawah Rancangan Malaysia Ke-10 yang telah dirancang untuk membantu Kerajaan Negeri Terengganu menyediakan kediaman kepada penduduk di kawasan sekitar Kuala Nerus. 

“Saya berharap dengan penyerahan projek ini dapat memberikan impak positif dan kemajuan kepada rakyat dalam memastikan agenda negara tercapai iaitu menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat,” ujarnya.