• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

PPS Di Dungun Ditutup Sepenuhnya

KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Banjir yang melanda Dungun pulih sepenuhnya dan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di daerah itu ditutup sejak pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, ketiga-tiga PPS terbabit iaitu  Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda yang menempatkan seramai 154 mangsa membabitkan 45 keluarga itu ditutup pada pukul 10 pagi. 

Che Adam berkata, sehingga 12 tengaha hari tadi hanya satu daerah terjejas banjir fasa kelima di negeri ini iaitu di Kemaman dengan seramai 876 mangsa.

“Kesemua mangsa membabitkan 273 keluarga itu ditempatkan di lapan PPS di daerah itu. 

“PPS tersebut adalah Dewan Orang Ramai Teladas, Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor, Dewan Sivik Air Putih, Surau Haji Othman, Dewan Orang Ramai Felda Seberang Tayor, Dewan Orang Ramai Pasir Gajah dan Balai raya Padang Kemunting,” katanya.

Katanya, keadaan cuaca ketika ini hujan renyai-renyai di beberapa tempat.