• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

PPS Di Hulu Terengganu Ditutup Sepenuhnya

KUALA TERENGGANU, 9 Januari- Dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan seramai 88 mangsa banjir di Hulu Terengganu ditutup sepenuhnya hari ini.

Penutupan PPS di Kampung Batu 23 dan Paya Besar, Kuala Berang itu secara rasminya pukul 4 petang tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, arahan penutupan itu dibuat selepas paras air di dua kawasan yang terjejas surut sepenuhnya.

“Semua mangsa melibatkan 21 keluarga ini sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing secara berperingkat," ujarnya.

Sementara itu, Che Adam berkata, jumlah mangsa banjir di dua daerah yang masih terjejas iaitu Kemaman dan Dungun semakin menurun.

Katanya, setakat pukul 4 petang tadi jumlah mangsa yang ditempatkan di 50 PPS daerah berkenaan merekodkan 10,124 mangsa daripada 2,566 keluarga.

"Di Kemaman seramai 7,897 mangsa daripada 1,930 keluarga ditempatkan di 25 PPS.

"Sementara, 25 PPS di Dungun pula menempatkan 2,227 daripada 636 keluarga," ujarnya.