• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PPSB Usahakan Minyak Gaharu

CEO Golden Pharos Berhad, Dato’ Ahmad Nadzaruddin Abdul Razak.
KUALA LUMPUR - Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB), telah menandatangani satu perjanjian dengan BioBenua Teknoloji Sdn Bhd bagi menjual minyak gaharu yang diproses daripada 500 pokok Karas.

Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos Berhad (GPB), Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak berkata, kerjasama di antara kedua-dua syarikat tersebut bakal memberi sumbangan positif kepada syarikat di masa hadapan.

Menurutnya, keputusan kumpulan GPB bekerjasama dengan syarikat BioBenua Teknoloji itu merupakan keputusan terbaik memandangkan industri karas mempunyai permintaan yang tinggi di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Golden Pharos Berhad Dato' Ahmad Nadzaruddin Abdul Razak bersalaman dengan Pengarah BioBenua Teknoloji Sdn Bhd Dato' Abdul Razak Ali selepas menandatangani perjanjian kerjasama untuk memproses pokok Karas.
Katanya, perjanjian kerjasama itu termasuklah menanam, memproses, menapis dan memasarkan sebarang produk yang dihasilkan daripada pokok Karas.

“Kerjasama itu juga bakal menyaksikan pembahagian keuntungan iaitu 60 peratus dan 40 peratus di antara BioBenua Teknoloji dan PPSB.

“Di bawah perjanjian itu, PPSB akan membekalkan 500 pokok karas yang matang, manakala BioBenua Teknoloji akan menanggung kos rawatan pokok tersebut daripada sebarang jangkitan.

“Kemudiannya, pokok yang telah dirawat akan diproses bagi menghasilkan minyak gaharu, dan ia merupakan bahan asas penting untuk pembuatan minyak wangi dan produk bauan yang lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB) dengan BioBenua Teknoloji Sdn Bhd, di ibu negara, Kuala Lumpur, kelmarin.

Menurut Dato’ Nadzarudin, Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB) merupakan sebuah anak syarikat Golden Pharos Berhad (GPB), mempunyai 1,000 pokok karas yang ditanam seluas 2471 ekar di Ladang Karas, Mercang, Terengganu.

“Karas atau lebih dikenali sebagai gaharu merupakan satu spesis pokok yang paling tinggi ditanam oleh petani di Malaysia.

“Pokok Karas boleh diproses untuk menghasilkan minyak gaharu, minyak wangi, manik, bau-bauan, bahan hiasan serta teh wangian,” jelasnya.

Tambah beliau, Malaysia merupakan salah satu daripada 12 negara di dunia yang menanam 50 ribu jenis spesis pokok yang hidup dalam pelbagai habitat, boleh ditemui di sekitar kampung sehinggalah ke pedalaman hutan.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar PPSB, Wan Mohd Shuhaimi Wan Aziz serta wakil BioBenua Teknoloji Sdn Bhd, Roslan Ali.


Tag: