• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Premis Menu Rahmah Dijangka Meningkat Menjelang Ramadan

KUALA TERENGGANU, 1 Mac – Jumlah premis yang menawarkan Menu Rahmah dijangka meningkat menjelang Ramadan tahun ini.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata ia berdasarkan tinjauan dari sudut penerimaan pengusaha mahupun pelanggan terhadap menu Rahmah ini.

Katanya, sehingga hari ini sebanyak 1,142 premis makanan telah menyertai inisiatif Menu Rahmah di seluruh negara.

“Inisiatif itu turut diperluaskan ke Restoran Infaq, Wakaf Tok Polam yang merupakan hak milik Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

“Restoran Infaq, Wakaf Tok Pelam terdiri daripada lapan buah kiosk yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman,” jelasnya.

Beliau berkata demikian di MajlisPerasmian Menu Rahmah dan Penyerahan Bakul Rahmah bertempat di Restoran Infaq, Wakaf Tok Pelam di sini hari ini.

Tambah Salahuddin, kesemua kiosk tersebut menawarkan menu Rahmah sekali gus menjadikan lapan hidangan Menu Rahmah yang ditawarkan di restoran itu pada harga RM5.00.

Pada program yang sama, Salahuddin turut menyerahkan sumbangan Bakul Rahmah kepada 20 penerima dengan setiap bakul bernilai RM150.

“Inisiatif Bakul Rahmah dilaksanakan bertujuan bagi membantu kumpulan miskin tegar B10 (pendapatan kurang daripada RM2,500) dalam mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi oleh golongan ini,” katanya.

Selain itu, dijangka seramai lebih 37,373 Ketua Isi Rumah (KIR) kumpulan miskin tegar dan golongan sasar secara bulanan akan mendapat manfaat daripada inisiatif itu.

 

 

 

 

 


Tag: