• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Presiden KAWAT Meninggal Dunia

KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Khairul Azlam Mohamad dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi tadi. 

Allahyarham Khairul Azlam yang juga wartawan Harakah negeri Terengganu menghembuskan nafas terakhir pada umur 51 di kediamannya, Taman Perumahan Permint Perdana, Seberang Takir. 

Isterinya, Wan Sabariah Wan Musa, 49, memaklumkan bahawa suaminya meninggal secara mengejut selepas mengadu sakit dada pada jam 3.30 pagi. 

Solat jenazah dilaksanakan di Masjid Jamek Tok Jiring sekitar 11.00 pagi dan disemadikan di tanah perkuburan Islam Maahad Tahfiz wal Tarbiyyah (MTT), Kuala Nerus.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah mewakili kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham.

"Kerajaan Negeri sangat menghargai jasa almarhum dalam mengeratkan hubungan antara kepimpinan Kerajaan Negeri dengan semua wartawan dan media di Terengganu.

"Moga jasa dan amal baiknya diganjari Allah di alam baqa’ dengan kegembiraan dan ketenangan," katanya.


Tag: