• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Prihatin Ramadan Bersama MB Tarik Ribuan Rakyat

KUALA NERUS, 5 April – Program Prihatin Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa bersama Menteri Besar Terengganu berjaya menarik lebih 1,000 rakyat di setiap lokasi.

Pengerusi Masjid Nur Bakti, Mohamad Sabry Othman berkata, sambutan amat menggalakkan itu difahamkan kerana masyarakat mahu berbuka puasa, solat tarawih dan mendengar tazkirah bersama Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, dia juga amat teruja apabila mendapat tahu bahawa Masjid Nur Bakti dipilih menjadi tuan rumah pada program Prihatin Ramadan di Daerah Kuala Nerus.

“Di mana program ini diadakan di setiap daerah dalam negeri ini.

“Makanan yang disediakan untuk berbuka juga habis, kita sediakan hampir seribu, justeru membuktikan bahawa kehadiran luar jangka pada program ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Program Prihatin Ramadhan Daerah Kuala Nerus bertempat di Masjid Nur Bakti, Kampung Wakaf Tembesu di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Mohd Soud Said dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab.

Tambah Sabry, pihaknya menghargai usaha Kerajaan Negeri di atas kesudian menjadikan Masjid Nur Bakti sebagai tuan rumah pada program tersebut sekali gus mendapat pelbagai manfaat.

“Antaranya, melalui program tersebut dapat memperkenalkan program dan aktiviti masjid ini kepada pengunjung luar,” katanya.

Untuk rekod kata Sabry, masjid itu juga telah diberikan pengiktirafan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai masjid terbaik dalam kategori khidmat komuniti dalam standard penarafan masjid Malaysian (SPMM) peringkat kebangsaan.

Program berkenaan dijalankan di setiap daerah melibatkan satu lokasi terpilih, Marang dan Kuala Nerus adalah daerah yang telah berjaya melaksanakannya.


Tag: