• 10 Mei 2021 | 28 Ramadhan 1442

Primula Barakah Bantu Golongan Terkesan COVID-19

KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Di saat negara berdepan dengan wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini, Primula Beach Hotel tidak ketinggalan dalam menghulurkan bantuan melalui Primula Barakah kepada mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun, berkata saat sekarang bukan masanya untuk mengira keuntungan, mengambil kesempatan daripada suasana gawat untuk meraih pendapatan tetapi ia perlu ditumpukan bagi membantu golongan yang berada dalam kesusahan sejak penularan wabak berbahaya COVID-19

Katanya, cetusan idea Primula Barakah ini bermula  sejak bulan Mac 2020 ketika pelaksanaan PKP pertama oleh kerajaan pusat.

"Ramai yang ingin menderma tetapi tidak tahu bagaimana cara untuk sampai kepada mereka yang berhak jadi kami menawarkan diri untuk membantu.

"Primula Barakah ini beroperasi dengan menerima sejumlah dana dalam bentuk wang ringgit 
daripada sesiapa sahaja yang ingin menghulurkan sedekah tanpa had.

"Seterusnya, pihak kami akan  menyediakan makanan mengikut sumbangan yang dihulurkan oleh penderma dan mengagihkan makanan tersebut kepada mereka yang berkenaan pada waktu yang tertentu,"katanya kepada pemberita ketika ditemui, baru-baru ini.

Tambah beliau, sasaran utama penerima sumbangan  adalah pekerja barisan hadapan, anak-anak yatim, pusat-pusat tahfiz, rumah-rumah orang tua, asnaf dan lain-lain yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Menurut Suaibah, sehingga hari ini, pihaknya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada mereka yang prihatin.

"Sejak bermulanya program ini, kami mendapat sambutan yang cukup memuaskan dengan kadar purata RM2,500 sehari untuk disedekahkan oleh penderma-penderma yang prihatin.

"Selain daripada sumbangan kepada golongan yang memerlukan untuk kelangsungan hidup, ia juga memberi peluang kepada mereka yang kurang mampu untuk merasai hidangan yang disediakan oleh hotel bertaraf empat bintang ini," ujarnya.