• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

‘Primula Gerobok Rezeki’ Bantu Pelajar Memerlukan

KUALA TERENGGANU, 22 Februari – Berpegang pada konsep 'rezeki dikongsi bersama' Primula Beach Hotel, di sini, memperluaskan  Gerobok Rezeki bagi membantu pelajar asnaf di sekolah-sekolah yang terpilih. 

Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, idea tersebut  bermula daripada kejayaan  projek Primula Gerobok Rezeki yang diagihkan kepada masjid-masjid dan surau-surau terpilih di sekitar kawasan Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. 

Justeru itu katanya, pihaknya mengembangkan lagi program itu dalam pengagihan barangan asas kepada sekolah-sekolah yang mempunyai program tersebut. 

“Gerobok Rezeki ini satu usaha yang sangat baik. Jika kita ada rezeki yang lebih, rezeki itu kita kongsikan dengan orang lain kerana masih ada mereka yang memerlukan untuk kelangsungan hidup.

“Program ini bukan bantuan one-off tetapi dibuat secara berterusan di mana orang ramai  juga boleh menyumbang sepanjang masa dan mereka yang memerlukan boleh mendapatkan keperluan di Gerobok rezeki,” katanya

"Sebenarnya, semua makanan ini bukan tertumpu untuk anak asnaf sahaja, tetapi membantu pelajar tertinggal wang belanja atau ditimpa apa-apa musibah ketika sesi persekolahan," katanya kepada pemberita.

Primula Gerobok Rezeki merupakan projek kebajikan bermula sejak Ogos 2021 yang dilancarkan untuk membantu mereka yang sangat memerlukan dan kurang berkemampuan.

Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Losong, Kuala Terengganu merupakan sekolah pertama yang dipilih  menerima sebanyak 30 kotak air minuman Milo, 20 paket biskut Hap Seng dan Lexus, lima paket Milo Crunch dan 10 paket Nestum  yang disumbangkan oleh warga kerja Primula Beach Hotel 

Tambah Puan Suaibah lagi, ia adalah sebuah almari dipenuhi makanan dan minuman dengan tujuan membantu pelajar di sekolah itu.

“ Mereka yang mempunyai masalah kewangan boleh mengambil barangan keperluan di gerobok rezeki berupa barangan asas makanan, minuman dan keperluan harian  agar mereka dapat terus fokus untuk belajar tanpa sebarang gangguan dan perut yang terisi. 

“Inisiatif ini juga diharap dapat mengurangkan kesengsaraan keluarga murid yang tiada pendapatan tetap atau terjejas akibat penularan wabak COVID-19,” katanya.

Justeru katanya, bantuan seumpama itu adalah tepat sebagai dorongan dan motivasi kepada pelajar betapa ada pihak yang ambil berat terhadap kebajikan mereka.