• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Primula Teruskan Budaya ‘Kucar Bubur Sure’

KUALA TERENGGANU, 15 Ogos - Tradisi mengacau bubur Asyura atau ‘Sure’ sempena bulan Muharram sememangnya sudah menjadi kelaziman bagi warga Primula Beach Hotel.

Pengurus Besar Primula, Suaibah Harun berkata, pihaknya menerapkan  budaya 'kucar bubur sure' setiap kali menjelang Muharam bertujuan mewujudkan semangat bekerjasama dan maufakat  yang kini  dilihat semakin pudar.

Katanya, pada tahun ini sebanyak tiga kawah bubur disediakan turut membabitkan 25 kakitangan hotel sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.

"Untuk menghasilkan tiga kawah bubur, sebanyak 20 kilogram (kg) beras digunakan, ikan selayang (15kg), daging (10kg), ayam (3kg), santan (15kg) dan bahan-bahan sampingan lain seperti ubi, kerisik dan rempah asyura menghasilkan 500 bekas bubur 'sure'.

"Acara memasak bubur ini bermula pada jam 8.30 pagi dan pengagihan bermula pada jam 3.15 petang kepada surau dan beberapa agensi kerajaan berdekatan serta warga kerja hotel," katanya kepada pemberita.

Tambah Suaibah, walaupun ia dilakukan secara sederhana, kemeriahan dan keharmonian sesama individu dapat dilihat semasa mereka, menyediakan bahan keperluan dan mengacau bubur asyura secara gotong-royong hinggalah kepada proses agihannya.