• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PRK Kuala Terengganu Diadakan Serentak PRN

KUALA TERENGGANU, 18 Julai- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu (P036) akan diadakan pada 12 Ogos, serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, Dewan Banquet, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan dijadikan sebagai pusat penamaan Calon (PPC) bagi PRK, berkongsi premis dengan DUN N15 Ladang.

Manakala, PPC bagi DUN N13 Wakaf Mempelam, N14 Bandar dan N16 Batu Buruk kekal di lokasi yang telah ditetapkan sebelum ini.

"Pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) bagi keempat-empat DUN berkenaan dan Parlimen Kuala Terengganu pula adalah berpusat di Menara MBKT," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR, hari ini.

Menurut Abdul Ghani, sebanyak RM465,000 diperlukan bagi melaksanakan PRK tersebut yang membabitkan 123,575 pemilih.

Terdahulu, calon PAS, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zubir Embong.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu, diketuai Hakim, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setelah pihak pempetisyen membuktikan wujud unsur rasuah dalam kempen PRU-15.

Bagaimanapun, Ahmad Amzad tidak didakwa atas kesalahan rasuah dan membolehkan beliau kembali bertanding dalam PRK.

Pada 8 Julai, PAS memutuskan tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan, membolehkan PRK diadakan segera.

 

 

 

 


Tag: