'PRN Kuasa Kerajaan Negeri' - Anwar

KUALA NERUS, 12 Januari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan masih terlalu awal untuk mengadakan perbincangan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan perkara itu di bawah kuasa kerajaan negeri terlibat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata keputusan mengenai PRN terserah kepada pentadbiran kerajaan negeri yang berkenaan.

"Kita akan bincang..ia (PRN) masih  terlalu awal, bagi saya dalam sebulan dua ini hanya tumpu soal kerja dan belum lagi bincang soal PRN.

"Idealnya PRN diadakan serentak namun ia bukan di bawah bidang kuasa saya namun ini soal urusan negeri cuma dia akan tetapkan yang sesuai," katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama ketua jabatan dan pegawai kanan Persekutuan di Dewan Senat Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Dalam perkembangan lain Perdana Menteri turut diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui melalui Taklimat Presiden UMNO di hadapan lebih 3,000 perwakilan parti itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur semalam, bersabit UMNO memberi bayangan akan bertanding bersama Pakatan Harapan (PH) dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang namun memilih untuk kekal menggunakan logo Barisan Nasional (BN).

Jelas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, pihaknya akan mengatur perbincangan dengan UMNO bersabit perkara itu dalam masa terdekat. 

"Kita akan bincang…(sekarang ini) kita belum bincang pun lagi," katanya.

Anwar tiba di Terengganu pada hari ini bagi mengadakan lawatan kerja melibatkan beberapa perkara yang berkaitan.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini turut  berkenan menerima menghadap Anwar di Istana Syarqiyyah pagi tadi.

Sesi menghadap Sultan Mizan yang pertama buat Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, sejak Pengerusi PH Itu dilantik sebagai Perdana Menteri, 24 November tahun lalu.