• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

PRN, Pengamal Media Digalakkan Daftar Undi Pos

KUALA TERENGGANU, 10 Julai – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggalakkan pengamal media berdaftar sebagai pengundi pos bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15).

Ketua Komunikasi Korporat SPR, Mohd Azlan Charles Abdullah berkata pendaftaran bagi petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, polis, tentera termasuk media akan berakhir pada 26 Julai ini.

“Kita memahami tugas pengamal media ketika hari penamaan calon dan sepanjang tempoh berkempen, jadi kita galakan supaya mendaftar sebagai pengundi pos.

“Hanya perlu mengisi borang 1A secara manual yang dimuat turun dari web SPR serta memberitahu pengawai pengurus pilihan raya bagi memaklumkan dan memudahkan proses pengundian nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program taklimat kepada petugas media sempena PRN15 di Dewan Utama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Sehubungan itu, SPR menggalakkan mereka untuk membuat pendaftaran akaun MySPR di pautan https://myspr.spr.gov.my lebih awal bagi membolehkan permohonan segera dapat dilakukan apabila tempoh permohonan undi pos dibuka kelak selain mengelakkan sebarang masalah sekiranya pendaftaran akaun MySPR pada saat akhir,

Permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu dibuka mulai 15 Jun baru-baru ini.

Sementara itu, lebih 60 pengamal media daripada pelbagai agensi di negeri ini menyertai taklimat pilihan raya 

Taklimat selama hampir empat jam anjuran SPR itu disampaikan Ketua Program (Pengurusan Strategik), Akademi Pilihan Raya, YM Raja Saera Dato' Raja Musa 

Taklimat itu diadakan bagi memberi pendedahan mengenai tugas media sepanjang proses PRN yang bakal berlangsung.