• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PRN: PN Ada Strategi Tersendiri-Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU, 9 Julai- Perikatan Nasional (PN) telah bersiap sedia dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos depan.

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PN mempunyai strategi tersendiri dan tidak gentar terhadap keyakinan BN bersama rakan gabungannya untuk menawan Terengganu dan Kedah pada PRN kali ini.

"Masa PRU 2018 dikatakan PAS hanya menang satu kerusi di Kelantan dan akan lenyap di Terengganu tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Jadi saya tak ambil 'port' apa yang dikatakan oleh mana-mana sama ada Pakatan Harapan (PH) atau BN yang mengatakan mereka mendapat momentum.

"Bagi kami, kita ada kerja-kerja yang perlu dibuat dihadapan. Ada kajian yang dibuat dan kita tidak 'syok sendiri' dengan kajian-kajian itu," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman.

Bagaimanapun katanya, seluruh jentera PN termasuk PAS diingatkan untuk tidak berasa selesa dengan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

“Apa yang penting ketika ini adalah kerja keras bagi mengekalkan momentum yang ada dalam berdepan pilihan raya di enam negeri.

“Apapun saya berharap semua jentera daripada PN dan PAS dan lain-lain supaya tidak selesa dengan kedudukan yang ada, dengan momentum yang ada.

“Kita teruskan... Insya-Allah kita akan mencapai kejayaan yang lebih baik daripada pilihan raya lalu,” ujarnya.