• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PRN: Polis Kenal Pasti 59 Kawasan Panas Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 13 Julai - Sebanyak 59 lokasi panas atau hotspot telah dikenal pasti polis kontinjen Negeri Terengganu sepanjang tempoh berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata   ia melibatkan 13 kawasan di Kuala Terengganu, Dungun (11), Setiu (10), Kemaman (sembilan), Hulu Terengganu (lapan), Besut (empat) dan Marang (empat).

Sehubungan itu, beliau berkata, sebagai langkah persediaan, seramai 4,468 orang pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di seluruh negeri ini bagi memastikan proses pilihan raya itu berjalan lancar.

“Isu-isu yang sering berlaku berkaitan merosakkan bendera parti, cuba untuk mengawal kawasan tertentu agar membenarkan pihak lain memacak bendera dan mencabut bendera.

“Berdasarkan pemerhatian pihak PDRM, isu kecil yang sering menjadi punca perbalahan ini, boleh dikurangkan atau dihindarkan pada PRN kali ini,” katanya di sidang media selepas mengerusikan Taklimat PRN di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, kesemua pegawai dan anggota pelbagai pangkat itu termasuk bantuan dari negeri berhampiran akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman semasa tarikh penamaan calon, tempoh berkempen dan hari pengundian.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh mengundi bagi PRN di enam buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu adalah pada 12 Ogos dengan tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai.


Tag: