• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Produk Berasas Nenas Mampu Lonjak MD2

Harwani (kanan) bersama Penolong Pengurus Sofea Pineapple, Nur Shaheda Zabli.
SERDANG, 3 Disember - Kepelbagaian produk berasaskan nenas mampu membawa jenama Nenas MD2 Terengganu setaraf nenas keluaran Johor dan Kedah.

Pegawai pemasaran Sofea Pineapple, Harwani Mohd Yusuf berkata, Nenas MD2 mempunyai kualiti untuk dipasarkan ke seluruh negara.

"Pelbagai produk boleh dihasilkan berasaskan nenas dan ia mampu merancakkan pengeluaran hasil dalam negeri.

"Daripada daun nenas kita boleh menghasilkan benang, kain dan kertas.

"Manakala, benih nenas boleh disalurkan ke zoo untuk makanan haiwan yang menjadikan keseluruhan hasil yang dituai dapat menjana pendapatan," katanya ketika ditemui di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 kelmarin.

Pameran pertanian terbesar negara yang berakhir semalam itu menyaksikan Nenas MD2 mendapat sambutan menggalakkan.
Kepelbagaian produk manfaat lebih pengeluaran.
Harwani berharap kepelbagaian produk daripada nenas akan melonjakkan pasaran buah itu selain mengangkat nama Terengganu sebagai pengeluar buah-buahan negara.

"Terima kasih kerajaan negeri dan Lembaga Perindustrian Nenas Negeri Terengganu kerana membuka peluang kepada anak muda mengusahakan tanaman nenas berkelompok.

"Kami para usahawan berharap kerajaan negeri akan terus memberi sokongan berterusan kepada usahawan dalam usaha mempelbagaikan produk berasaskan nenas," katanya.


Tag: