• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Program Biasiswa YT-TI Bantu Lonjak Pendidikan Anak Terengganu

KUALA TERENGGANU, 26 Januari- Tabung Biasiswa GLC akan dijenamakan sebagai Tabung Pendidikan Yayasan Terengganu bagi memperluaskan lagi fungsi tabung berkenaan bukan sahaja kepada penajaan semata-mata tetapi meliputi aspek kebajikan dan pendidikan anak-anak Terengganu.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc., Burhanuddin Hilmi Mohamed berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, pihaknya telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Yayasan Terengganu dan bersetuju menamakan Program Biasiswa GLC-Yayasan Terengganu sebagai Program Biasiswa YT-TI atau dikenali Young Talent Scholarship Programme.

Katanya, penubuhan Program Biasiswa GLC-Yayasan Terengganu yang diwujudkan sebelum ini adalah cetusan idea Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melalui cadangan awal mewujudkan Tabung Biasiswa GLC bagi membolehkan syarikat-syarikat Korporat (GLC) Terengganu memberi sumbangan dengan tujuan penajaan biasiswa kepada anak-anak Terengganu yang cemerlang sebagai Corporate Social Responsibility (CSR).

“Cadangan tersebut kemudiannya direalisasikan dengan komitmen RM500,000 daripada anak-anak syarikat Kumpulan; TDM Berhad, Golden Pharos Berhad (GPB), GPQ Sdn Bhd, TI Properties Sdn Bhd, Chicken Cottage Limited dan Permodalan Terengganu Berhad (PTB).

“Hal ini turut membuka peluang mana-mana individu, agensi atau syarikat yang memberi sumbangan atas tujuan kebajikan dan pendidikan diberikan pengecualian cukai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship Programme Tahun 2022 kepada 10 pelajar cemerlang terpilih yang disempurnakan Ahmad Samsuri di Wisma Darul Iman, semalam.

Katanya, sebagai langkah permulaan, penajaan biasiswa tersebut dibuka kepada pelajar cemerlang lepasan program persediaan (Asasi/Matrikulasi) dan STPM yang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda (Ijazah Pertama) di semua Universiti Awam.

“Manakala pemilihan bidang-bidang pengajian telah ditetapkan berdasarkan keperluan yang diputuskan oleh Kumpulan Terengganu Inc. iaitu dalam bidang Kepintaran Buatan (AI), Sains Data (Big Data), Undang-undang, Muamalat, Pentadbiran Korporat, Sains Kesihatan (Fisioterapi) dan Perladangan,” ujarnya.

Menurut Burhanuddin, pihaknya juga bersetuju untuk meneruskan sumbangan bagi tahun 2023 dengan jumlah yang sama dengan dengan harapan program biasiswa ini akan memberi impak yang positif kepada kecemerlangan pendidikan anak-anak Terengganu.