• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Program JAKM Terengganu Dapat Sambutan Orang Ramai

KUALA NERUS, 3 Jun- Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM)Terengganu yang memasuki hari kedua hari ini, terus mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang membawa keluarga bagi menyertai pelbagai aktiviti dianjurkan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, program ini dilihat berjaya menarik perhatian masyarakat kerana pelbagai perkhidmatan secara langsung ditawarkan, selain peluang menarik disediakan oleh agensi kerajaan yang terbabit

"Kita dapat lihat kehadiran ramai pengunjung dalam setiap acara dan reruai yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) yang menjadi peneraju bagi siri jelajah kali ini.

"Program kayuhan Fun Ride pagi turut mendapat sambutan dan segmen #tanyaDRJ di reruai KPM, ramai yang bertanyakan soalan kepada saya.

"Kesimpulannya, JAKM Terengganu mendapat sambutan dan saya yakin pada hari terakhir lebih ramai pengunjung akan hadir dan akan lebih meriah dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan merasmikan majlis penutup pada pagi esok," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan segmen #tanyaDRJ di reruai KPM di Jelajah AKM Terengganu di Kompleks Sukan Negeri, di sini hari ini.

Program JAKM Terengganu selama dua hari yang berakhir esok merupakan kesinambungan kepada penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di 14 lokasi di seluruh negara dengan pengisian program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat.