• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Program Kenali Ubat Anda Beri Manfaat Kepada Pelajar



Oleh: Adli Mohamad 

DUNGUN- Penganjuran Program Kenali Ubat Anda yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Durian Mas 2 banyak memberi manfaat kepada pelajar.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, program terbabit diadakan khusus untuk pelajar tahun enam yang baru selesai menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Katanya, objektif utama adalah  memastikan pelajar memperolehi ilmu termasuk dalam mengenali jenis ubat-ubatan, cara menggunakannya, cara menyimpannya dan juga mengenali tanda alahan ubat.

"Memandangkan mereka tiada lagi terlibat dengan aktiviti pembelajaran di kelas maka bolehlah mereka (pelajar) mendapat manfaat dari program ini.

"Program ini diadakan dalam bentuk santai dan yang penting dapat memberi ilmu serta pengetahuan kepada mereka tentang ubat-ubatan," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Program Kenali Ubat Anda yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Durian Mas 2 (14 Oktober).

Beliau yang juga merupakan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Al-Muktafi Billal Shah (AMBS) berkata, program itu telah menarik minat 50 orang pelajar menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.

"Pada awalnya bagi menguji sejauhmana mereka mengenali jenis-jenis ubat, maka mereka diminta agar membentuk kumpulan dan memberi nama kumpulan mereka berdasarkan nama dan jenis ubat-ubatan.

"Dan terbentuklah kumpulan Paracetamol, Antibiotik, Vaksin, Vitamin A dan juga kumpulan Antiseptik," ujarnya.

Menurutnya,  bagi memastikan pelajar dapat mengikuti sepenuhnya program itu maka pelbagai aktiviti disusun, seperti menjawab soalan mengenai ubat, permainan bentuk puzzle mengenai jenis-jenis ubatan.

"Mereka juga diminta membentangkan hasil aktiviti bagi melatih mereka petah bercakap dan memiliki kemahiran membuat pengucapan awam serta memupuk keberanian dan keyakinan diri," jelasnya.

Tag: