• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Program Penghayatan Islam Dekati Komuniti Setempat

HULU TERENGGANU, 19 Februari - Penganjuran Program Penghayatan Islam anjuran TDM Plantation Sdn Bhd menjadi salah satu usaha bersama kerajaan negeri dalam mendekati komuniti setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, program itu juga mengetengahkan sikap cakna syarikat kepada mereka yang terkesan berikutan wabak pandemik.

"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk menyebarkan syiar Islam dan membantu mereka yang memerlukan.

"Perlu diingat, tanggungjawab menjaga kesejahteraan dan kebajikan individu, negeri dan negara perlu dikongsi bersama," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Siri 1 Karnival Penghayatan Islam Bersama Masyarakat Hulu Terengganu di Dataran Kuala Berang, di sini hari ini.

Dalam majlis yang sama, TDM turut menyampaikan bantuan kewangan kepada 400 golongan asnaf di kawasan Parlimen Hulu Terengganu.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ajil, Maliaman Kasim.

Tambah Dr Mamad lagi, kerajaan negeri pula akan terus perkasa usaha memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan dalam semangat kebersamaan 'Keluarga Malaysia'.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation, Hamdan Ibrahim, berkata karnival  yang dianjurkan itu merupakan salah satu Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang berbentuk kemasyarakatan  dan program ilmiah bagi mendekati masyarakat.

Katanya, dengan pelbagai pengisian sepanjang program berlangsung, secara tidak langsung dapat mengeratkan ukhuwah dan melahirkan masyarakat seimbang.