• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 23 Disember – Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk telah menganjurkan Program Tuisyen Rakyat untuk membantu pelajar tingkatan lima yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Program tuisyen tersebut menawarkan tiga subjek kepada pelajar iaitu Bahasa Melayu, Matematik dan Sejarah.

“Kita jalankan program ini melalui tiga zon iaitu zon pertama buat Mukim Chendering bertempat di Dewan Serbaguna Permin Jaya, zon kedua untuk Mukim Kuala Ibai dan Batu Buruk bertempat di Dewan Darul Syifa’ Kuala Ibai.

“Manakala bagi zon ketiga untuk Mukim Bukit Besar bertempat di Dewan Masjid Gong Tok Nasek,” kata ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika ditemu bual pemberita.

Tambah beliau, program tuisyen tersebut memanfaatkan tenaga pengajar yang pakar dalam soalan-soalan lazim dalam peperiksaan SPM.

Ketiga-tiga zon tersebut dijadualkan secara berasingan iaitu zon pertama pada 22 hingga 24 Disember 2020, zon kedua pada 27 hingga 29 Disember 2020 dan zon ketiga pada 3 hingga 5 Januari 2021.

Program Tuisyen Rakyat ini yang bermula semalam telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan penuh seramai 32 orang pelajar.

Tambahan pula, program tersebut telah dijalankan mengikut Standard Operation Procedure (SOP) yang ditetapkan seperti memakai pelitup separuh muka dan penjarakan fizikal.


Tag: