• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Projek Darurat Pengkalan Maras Perlu Diluluskan Segera

Shaharizukirnain.

SETIU, 30 Ogos - Kerajaan Pusat digesa agar segera meluluskan projek darurat sebagai persediaan awal untuk berhadapan dengan peralihan monsun yang dijangka pada akhir bulan September.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, dalam Sidang Bajet Parlimen November tahun lalu beliau telah menyuarakan isu hakisan pantai Pengkalan Maras kepada  Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), Dr Xavier Jayakumar sebelum satu projek 'nearshore breakwater' di kawasan itu diluluskan.

Walau bagaimanapun, projek yang menelan belanja RM90 juta tersebut mengambil masa yang lama untuk dibina dan disiapkan.

"Projek pembinaan ‘breakwater’ itu masih dalam proses reka bentuk dan dijangkakan bermula pada awal tahun 2021 dan akan mengambil masa yang panjang untuk disiapkan," ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau lagi, kelulusan projek tambakan pasir yang bernilai hampir RM10 juta juga tidak menyelesaikan masalah di Pengkalan Maras kerana peruntukan itu tidak melibatkan kawasan itu.
Tinjauan yang dilakukan oleh Shaharizukirnain baru-baru ini.
Katanya, masalah serta kerugian lain akan terus muncul sekiranya tiada tindakan segera bagi menyelesaikan masalah terbabit.

"Mengikut Laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kerugian yang telah dialami sehingga Januari lalu adalah dianggarkan sebanyak RM3.75 juta dan telah meningkat kepada RM7.51 juta pada bulan Ogos.

"Apa yang lebih membimbangkan, kerugian ini dijangka akan terus meningkat kepada RM23.75 juta sekiranya masalah ini tidak diatasi segera, hakisan akan merosakkan tanah perkuburan Islam, chalet, premis-premis perniagaan, jalan berturap, kawasan pendaratan ikan.

Tegas Shaharizukirnain, rakyat setempat amat memerlukan projek darurat tambakan pasir yang sekurang-kurangnyanya 500 meter panjang dengan 40 meter lebar.

"Ia bermula dari hujung lapis lindung batu (rock revetment) sedia ada sehingga sekurangnya 500m ke utara iaitu meliputi kawasan hakisan kritikal bagi mengelak hakisan semakin teruk dan merebak ke bahagian lain.

"Saya juga menyokong permohonan Kerajaan Terengganu supaya Kerajaan Pusat segera meluluskan peruntukan darurat sebanyak RM5 juta serta menyeru agar semua pihak bekerjasama menjaga ekosistem alam yang diberikan oleh Allah," tambah beliau.


Tag: