• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Projek ECRL Di Terengganu Capai Kemajuan 25 Peratus

KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Operasi pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu telah mencapai kemajuan 25.76 peratus setakat Januari tahun ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata pihaknya optimis ia mampu disiapkan sebagaimana yang dijadualkan.

"Jajaran ini akan siap sepenuhnya pada Disember 2026 dan dimulakan operasinya pada Januari 2027, walaupun kita menghadapi sedikit masalah kelewatan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, namun kita boleh mengatasinya kembali, dan optimis akan mencapai kemajuan yang lebih baik pada tahun in.

"Disamping projek ini kekal dengan kos yang telah dipersetujui oleh kerajaan sebelum ini iaitu RM50.27 bilion, manakala proses pengambilan tanah yang melibatkan laluan utama masih berjalan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih Keluarga Malaysia (Corporate Social Responsibility) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu Bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, di Sekolah Kebangaan (SK) Bukit Bayas, di sini semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja serta Ketua Pengarah JKDM, Dato' Abdul Latif Abdul Kadir.

Darwis berharap dengan kerjasama yang baik antara empat buah negeri, ia akan mempercepatkan projek berkenaan yang membabitkan Jajaran Seksyen A dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu manakala Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang, Selangor.

"Dengan kerjasama yang baik dari negeri ini ia akan dapat dipercepatkan projek ECRL di negeri ini, keseluruhannya adalah sepanjang 665 kilometer (km) yang merangkumi 59 terowong dengan panjang keseluruhan 61 km serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhan 127 km," ujarnya lagi.


Tag: