• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Projek EPICOG-ExxonMobil Hasil 600 Peluang Pekerjaan

Dr Ahmad Samsuri (berdiri tiga dari kiri) menyaksikan tandatangan Projek Penyelenggaraan dan Pembinaan antara ExxonMobil dan EPIC OG di Putrajaya baru-baru ini. Foto - Abu Ubaidah
PUTRAJAYA - Rakyat Terengganu dijangka memperolehi antara 500 hingga 600 peluang pekerjaan selepas anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) iaitu EPIC OG Sdn Bhd (EPIC OG) mendapat kontrak penyelenggaraan,  pembinaan dan modifiksi dari Exxon Mobil Exploration and Production Malaysia Inc. (ExxonMobil) 16 Ogos lalu.

Perjanjian projek berkenaan, bermula tahun ini hingga 2023 itu dibuat secara tertutup di sebuah hotel di sini disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu,  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.


"Alhamdulillah, anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) iaitu EPIC OG Sdn Bhd, telah memperolehi kontrak bagi kerja-kerja Penyelenggaraan, Pembinaan dan Modifikasi (MCM) untuk tahun 2018 sehingga 2023 daripada ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc.

"Saya turut bersama menyaksikan majlis menandatangani Kontrak Perniagaan yang telah diadakan secara tertutup pada Khamis, 16 Ogos 2018 lepas.


"Kontrak ini menjangkakan  antara 500 hingga 600 peluang kerja kepada penduduk tempatan, " kata Dr Ahmad Samsuri.

Beliau berkata demikian ketika memuat naik maklumat dan beberapa gambar berkait perjanjian tersebut distatus Facebooknya baru-baru ini dan mendapat pelbagai komen dari netizen.


Antaranya bekas Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri  zaman Kerajaan Barisan Nasional (BN) Dato' Tengku Mahmud Mansor mengucapkan tahniah kepada EPIC OG,  atas kejayaan tersebut.

Beliau mengharapkan anak syarikat kerajaan negeri itu dapat membantu menyempurnakan kebajikan seramai 450 orang anak yatim Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim (PERKAYA).

"Tahniah EPIC atas kejayaan dapat tender yg amat bermakna itu. Semoga Allah memudahkan urusan EPIC supaya dapat keuntungan yang berlipat ganda dan dapat membantu lagi anak yatim PERKAYA seramai 450 orang di lima buah asrama seluruh Terengganu." ujarnya.

Encik Muhamad Bakri pula berkata, sama ada usaha itu bermula dari kerajaan terdahulu atau sekarang,  yang penting ia bermanfaat untuk memberi peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan.

Tag: