• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Projek Jangka Panjang Air Marang Siap 85 Peratus

MARANG, 28 April – Projek naik taraf bekalan air Marang untuk penyelesaian jangka masa panjang yang bernilai hampir RM60 juta kini siap 85 peratus. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata projek bermula tahun lepas itu mengambil sedikit masa kerana terpaksa melalui laluan sukar seperti merentasi sungai dan jalan raya.

“Kami akan cuba sedaya upaya bagi memastikan kontraktor dapat menyelesaikan gerak kerja dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

"Insya-Allah selepas selesai, masalah air yang berlaku akan dapat diatasi," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan & mendengar taklimat di Pejabat Syarikat Air Terengganu (SATU) Daerah Marang, Rhu Rendang di sini semalam.

Tambah Dr Mamad, Marang merupakan satu-satunya daerah di Terengganu yang masih belum mempunyai loji air sendiri sejak sekian lama.

Disebabkan itu jelasnya, penggunaan air di Marang terpaksa bergantung dengan sokongan air dari loji daerah lain.

“Ini mengakibatkan berlaku masalah gangguan air di beberapa kawasan terutamanya pada musim perayaan dan waktu puncak akibat pertambahan penggunaan serta penduduk," katanya.

Mengulas mengenai penyelesaian jangka pendek yang diambil pihaknya berhubung masa air di Aidilfitri, beliau berkata Syarikat Air Terengganu (SATU) telah menyediakan 34 tangki statik bersama dua buah lori.

"Ia khusus untuk beberapa tempat di daerah Marang yang mengalami masalah bekalan air.

"Selama ini, Marang menerima bantuan bekalan air daripada Kuala Terengganu namun akibat permintaan yang tinggi bekalan tersebut tidak dapat ditunaikan dalam jangka masa itu.

“Ia menyebabkan beberapa tempat di Marang seperti Rusila, Bukit Payung dan beberapa tempat lagi tidak dapat bekalan air.

“Manakala di kampung Wakaf Tapai juga mengalami nasib yang sama yang menerima bantuan air daripada Hulu Terengganu,” ujarnya.

 


Tag: