• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Projek Kampung Jelapang Setiu Diteruskan

KUALA TERENGGANU, 23 Ogos - Kerajaan negeri akan meneruskan projek pembangunan padi di Kampung Jelapang, Langkap kerana ia bertetapan dengan visi menjadikan Setiu sebagai gedung pengeluar makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sangat sayang jika usaha itu tidak diteruskan kerana kerajaan Barisan Nasional sebelum ini telah membelanjakan RM40juta dan belum menjadi kawasan penanaman padi.

"Bagi memastikan hasrat itu berjaya dilaksanakan ada beberapa kertas kerja yang telah diangkat ke kementerian yang masih lagi tergantung antaranya kita mencadangkan untuk membina takungan air.

"Sebab isu utamanya ialah masalah pengairan air, apabila diselesaikan isu ini yang lain-lain itu akan dapat diatasi dengan sendirinya," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa mengadakan kunjung hormat ke Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, di sini, semalam.

Mengulas lanjut katanya, Terengganu ingin memastikan Kadar Sara Diri (SSR) mencecah lebih 70 peratus.

"Isu-isu yang lain termasuk berkait dnegan kilang padi semua Alhamdulillah kita dah selesaikan, kini ke arah berkeja untuk menaikkan SSR padi." katanya.