• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Projek KT Bypass Kini Dalam Proses Akhir

HULU TERENGGANU, 30 Julai - Projek Kuala Terengganu Bypass iaitu pembinaan jalan raya dari Kuala Ibai ke Durian Burung sejauh lebih kurang enam kilometer beserta dengan jambatan dan 'calvert' kini dalam proses untuk penyiapan akhir. 

Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata, secara keseluruhannya projek itu telah dilaksanakan dalam 85 peratus dan dijangka siap pada Januari 2022.

"Kos membina jalan ini pada awalnya sebanyak RM160 juta, kemudian ditambah lagi RM60 juta dan menjadikan jumlah keseluruhan RM220 juta. 

"Projek ini agak lambat disiapkan atas beberapa faktor seperti permasalahan dalam pengambilan tanah serta perubahan skop kerja yang berkaitan dengan tanah lembut dan beberapa perkara lain yang perlu dibuat," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Kuala Terengganu Bypass, baru-baru ini. 

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kuala Berang, projek yang disiapkan kelak akan memudahkan orang ramai kerana ia dipanggil juga "jalan shortcut".

"Laluan orang ramai dari Pulau Rusa, Batu Enam tidak perlu lagi masuk kawasan Bandar Kuala Terengganu untuk ke Marang kerana boleh terus turun di Kuala Ibai. 

"InsyaAllah, kita sama-sama doakan supaya projek ini dapat disiapkan dalam tempoh yang diberikan dengan baik agar kita semua dapat menggunakan lebuh raya tersebut," katanya.