• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Projek Lulus, Masalah Muara Merchang Cetek Bakal Berakhir

MARANG, 8 Jun – Masalah muara cetek yang dihadapi lebih 300 nelayan di Kuala Merchang bakal berakhir selepas satu projek berskala besar di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah diluluskan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, tender bagi projek itu sudah dibuka pada 3 Jun lalu dan akan ditutup pada 13 Julai nanti sebelum kerja-kerja mendalamkan muara berjalan.

“Difahamkan, masalah ini berlarutan sejak lebih 30 tahun lalu. Kuala Merchang menjadi laluan utama nelayan ke laut, apabila semakin cetek serta menjejaskan dan merugikan nelayan.

“Usaha kita bersama kerajaan negeri dan Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang bagi memulihkan semula muara Sungai Merchang kepada muara yang akan membolehkan nelayan Merchang ke laut kini hampir menemui penyelesaian,” ujarnya kepada UPDI.

Pada Mac tahun ini, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata lebih RM1.5 bilion diperuntukkan kerajaan untuk projek pembangunan JPS di Terengganu menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan RMK-12.

“Daripada peruntukan tersebut, dianggarkan RM861 juta untuk projek pemuliharaan muara sungai yang melibatkan muara Sungai Paka, Sungai Besut, Sungai Ibai, Sungai Merchang, Sungai Setiu dan Sungai Dungun,” katanya.

Sementara itu, sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sementara menanti projek berjalan sepenuhnya, kerja-kerja pengorekan pasir bagi tujuan alur pelayaran sebagai langkah penyelesaian jangka pendek telah dijalankan.


Tag: